Perjuangan Pendakwah Milenia Dalam Da’i
Kongsi Article Ini:
2 9
Atas rasa tanggungjawab moral dan sosial kepada masyarakat, stesen televisyen nombor satu Malaysia, TV3 kini bakal tampil dengan sebuah program realiti terbaru berbentuk Islamik dan ilmiah berjudul, ‘Da’i - Pendakwah Milenia.’
Program yang bakal bersiaran secara langsung bermula 19 Januari ini merupakan sebuah program berteraskan misi pencarian pendakwah di kalangan golongan muda yang berkebolehan dalam menyampaikan dakwah secara berhikmah.
“Semua orang boleh menjadi Da’i tetapi bergantung kepada niat dalam diri masing-masing. Misi kami adalah untuk mencari golongan muda di luar sana sebagai pelapis dan program ini merupakan salah satu platform bagi melatih mereka untuk menjadi seorang pendakwah yang serba boleh,” ujar Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail, selaku juri tetap program Da’i.
“Seseorang Da’i itu perlulah memiliki akhlak dan ilmu yang seiring agar dapat menyampaikan kebenaran Islam secara berkesan kepada komuniti. Selain ingin melahirkan pendakwah milenia, program ini turut membuka peluang kepada pemenang dengan menawarkan kontrak kepada mereka untuk muncul dalam program di bawah Media Prima Berhad.
“Mereka bukan saja dapat memakmurkan program di TV3 malah juga program-program agama yang ada di Malaysia. Namun, di sini saya ingin tegaskan bahawa matlamat utama kami bukan mahu mencari pengacara tapi seorang Da’i yang berkaliber,” tambahnya ketika ditemui pada majlis sidang media program ‘Da’i - Pendakwah Milenia’ di The Terrace Restaurant, The Royale Bintang The Curve pada petang Isnin.
Selain Tuan Haji Zainal Ariffin, program ini turut diadili oleh juri tetap, Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie bersama juri jemputan yang lain di mana mereka bertanggungjawab menilai ketrampilan semasa para peserta. Walaupun ‘Da’i - Pendakwah Milenia’ adalah sebuah program realiti, namun tiada undian menerusi Khidmat Pesanan Ringkas atau SMS digunakan untuk proses penyingkiran. Sebaliknya, sistem pemarkahan terletak 100% di tangan juri.
Seramai 20 orang peserta berjaya dipilih daripada 600 calon yang hadir ke sesi ujibakat yang diadakan di mana pada saringan pertama mereka perlu mengendalikan sebuah segmen dalam program ‘Al-Kulliyyah’ bermula 2 November lalu. Selepas dinilai oleh juri, hanya 12 peserta berjaya layak ke peringkat seterusnya di mana mereka kini akan bersaing bagi merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000.
12 peserta yang berjaya terpilih ialah Nasaruddin Bin Samsudeng, Che Faizal Amir Bin Che Mat, Mohd Taqwudin Bin Mohd Yazid, Noraida Binti Jamlie, Mohamad Azamudin Bin Zainal, Mohamed Hazwan Bin Padzil, Muhammad Haizat Bin Kamaruddin, Khairul Amar Bin Samsuri, Mohamad Shazwan Bin Zakaria, Ahmad Khairul Ikhwan Bin Abdullah, Nor Adibah Binti Rozain dan Muhammad Tajdid Bin Romli.
Kesemua mereka akan berhadapan dengan tugasan seperti berceramah, mengimarahkan masjid, membimbing adik angkat di sekolah berasrama penuh, sehari bersama saudara baru serta pelbagai lagi cabaran yang semestinya bakal menguji keupayaan minda dan bakat dakwah masing-masing.
Program “Da’i – Pendakwah Milenia” bakal menampilkan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin selaku hos di mana Nurul juga akan ditemani oleh Mohd Zhafran Mohd Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris yang akan mengendalikan segmen khas mingguan.
Program 13 episod yang bakal disiarkan setiap Sabtu jam 6.00 petang hingga 7.00 malam ini dikemudikan oleh tenaga kerja Primeworks Studio yang diterajui oleh Mohd Naim Niamat selaku Penerbit Eksekutif manakala Shukri Ibrahim bertindak selaku Penerbit dibantu oleh Ustaz Halim Sulaiman selaku Penolong Penerbit.
No comments:
Post a Comment