Ustaz Don : TV Al Hijrah
Kehadiran stesen televisyen Islamik pertama di Malaysia, TV AlHijrah nampaknya agak lambat diterima oleh para penonton di negara ini. Namun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan, ini kerana selain daripada agak lewat memasuki salah satu saluran di Astro, kandungannya yang 100 peratus bercorak Islamik pasti sukar menarik perhatian golongan muda.
Namun dari hari ke hari TV AlHijrah berusaha keras untuk membuktikan bahawa semua itu bukanlah satu halangan besar buat mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan stesen penyiaran yang lain. Dan akhirnya dengan tanpa disangka, keputusan mereka untuk menampilkan seorang ustaz muda yang bernamaDon Danial Don Biyajid, benar-benar telah mencetuskan fenomena baru dalam industri penyiaran tempatan.
Penampilan ‘sempoi’ dan bersahaja Ustaz Don dalam rancangan ” Program 30 Minit Ustaz Don ” berjaya menarik rating yang begitu tinggi dan mula mengumpul ribuan peminatnya yang tersendiri. Bilangan pengikutnya di Facebook juga semakin bertambah hari demi hari. Program 30 Minit Ustaz Don ini disasarkan kepada golongan remaja dan anak-anak muda untuk mereka menimba pelbagai ilmu agama melalui rancangan bual bicara dan interaktif. Ia memfokus dua perkara penting untuk golongan iaitu Bicara Fardu Ain dan al-Quran secara santai
Dengan wajah yang sentiasa tersenyum dan ceria, ternyata Ustaz Don berjaya mencetus satu fenomena dalam dunia penyebaran dakwah di negara ini. Ustaz Don sekarang menjadi fenomena baru dan membawa pendekatan dakwah berbeza yang memikat para remaja dan anak-anak muda masa kini.
Jika enam bulan lalu nama Ustaz Don disebut, mungkin ramai antara anda yang tidak mengenali dan tertanya-tanya siapakah gerangannya. Tapi kini ia dikenali bukan saja golongan dewasa, malah kanak-kanak pun kenal siapa Ustaz Don. Siapa sangka dengan gaya tersendiri ketika membicarakan isu agama dalam program 30 Minit Ustaz Don berjaya menambat hati sebilangan besar penonton.
Nak tahu serba sedikit biodata Ustaz Don ni..
Nama : Don Daniyal Don Biyajid
Tarikh lahir : 14 November 1984
Umur : 28 tahun
Tempat lahir : Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tinggi : 171 sentimeter
Sekolah : SMKA Nibong Tebal, Penang.
Berat: 56 kilogram
Pekerjaan : Pensyarah muda & pendakwah bebas bertauliah Pulau Pinang & Selangor)
Status : Bujang (sudah bertunang dengan gadis yang sedang belajar di Medical Student di Kaherah Mesir)
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir
Graduan Universiti Al Azhar
Minat bidang fotografi dan grafik.
Pernah menjadi guru tadika di Pulau Pinang
Asal nama Don : Bukan nama glamor, bukan juga gimik untuk tampil berbeza di kaca tv. Sebaliknya, pangkal nama Don yang tertera dalam kad pengenalan jejaka ini adalah kesinambungan susur galur nama keluarga yang dimulakan daripada ayahnya, Don Biyajid.
Nak tahu lagi pasal Ustaz Don, jom layan interview aku dengan Ustaz Don ni hehehe..
Menurut Ustaz Don, selain terlibat dengan program 30 Minit Ustaz Don pada waktu malam, aktivitinya di sebelah siang dipenuhi dengan tuntutan kerjaya sebagai pensyarah di Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Bangi.
Menurutnya lagi, permulaan penglibatannya dengan stesen TV AlHijrah adalah hasil usaha sahabatnya, Kamarul Zaman yang mengenali bekas staf stesen itu, Yaakob yang membawa kepada pertemuan mereka. “Setelah dicadangkan Kamarul, Yaakob menelefon saya dan menawarkan untuk menyertai TV Alhijrah. Tidak lama selepas itu, dia menjemput saya ke pejabat”. “Dalam pertemuan itu, Yaakob ingin melihat sama ada saya selesa dengan kamera atau tidak. Dari situlah detik permulaan saya dengan stesen berkenaan,” katanya mengimbau kembali sejarah.
Bermula dengan pembabitannya dalam program Ihya Ramadan sebanyak 20 episod, pelbagai reaksi positif diterima daripada penonton setia. Rentetan itu katanya, lahirlah idea untuk menerbitkan 30 Minit Ustaz Don yang berbentuk kuliah interaktif sebagai kesinambungan kejayaan program terdahulu. “Asalnya, nama program ini Tazkirah Ustaz Don tetapi setelah melakukan perbincangan, kami mendapati ia kedengaran terlalu berat dan tidak berapa sesuai dengan penerimaan masyarakat.
“Masih mengambil konsep tazkirah, kita ubah sedikit pendekatan itu dan muncullah30 Minit Ustaz Don yang hanya bersiaran selama setengah jam,” katanya. Menurut Ustaz Don, pemilihan durasi yang singkat memang disengajakan agar penonton sentiasa ternanti-nanti siaran program itu. “Sewaktu kecil dulu, kita selalu menantikan program animasi seperti Dragon Ball, Tomato Man dan sebagainya kerana waktu siaran yang pendek membuatkan kita tidak puas menonton. “Itulah yang ingin kita capai melalui 30 Minit Ustaz Don. Selain itu, kita juga mahu memberitahu penonton bahawa program keagamaan bukanlah sesuatu yang berat,” kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir ini.
Perubahan yang mula dilaksanakan sempena 2012, memperlihatkan permintaan dan sambutan hebat penonton. Namun tidak sesekali timbul perasaan riak daripada pendakwah muda ini. Malah, dia langsung tidak pernah berangan untuk sampai ke tahap yang dicapainya kini. “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan ‘bonus’ diberi oleh ALLAH SWT ini kerana kalau diikutkan, saya hanya bercita-cita menjadi pensyarah dan telah pun memiliki gelaran itu. “Cuma yang ada dalam fikiran, saya mahu suatu hari nanti mampu menjadi sehebat ulama terkenal seperti Ustaz Haron Din, Ustaz Azhar Idrus dan sebagainya yang memiliki ilmu agama yang cukup luas,” katanya.
Saat ditanya tentang gaya penyampaiannya yang disifatkan oleh penonton sebagai santai dan ‘sempoi’ ketika mengendalikan 30 Minit Ustaz Don, menurutnya, dia hanya menjadi diri sendiri. “Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW sendiri ada mengajar agar kita tidak berlakon apabila melakukan sesuatu perkara. “Apa yang anda lihat sekarang dan di kaca televisyen, itulah saya yang sebenarnya. Alhamdulillah, kebetulan cara saya diterima dan disukai oleh penonton,” katanya.
Mengakui kehidupannya kini melalui satu fasa berbeza setelah memegang status orang dikenali, Ustaz Don bagaimanapun melihatnya daripada perspektif positif. “Sekarang ini, kalau ke mana-mana banyak mata memandang dan ada yang hendak bergambar dan sebagainya. Tetapi, saya tidaklah rasa sudah popular kerana bukan itu yang hendak dikejar. “Sebaliknya, saya menjadikannya sebagai proses untuk membentuk diri ke arah lebih baik. Maklumlah, apabila setiap gerak geri kita diperhatikan, tentunya kita perlu mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak elok.
“Mungkin ada yang mempertikaikan dari sudut keikhlasan. Tetapi bagi saya kita perlu memulakannya, barulah timbul perasaan ikhlas itu tanpa perlu dibuat-dibuat,” katanya. Tidak setakat itu, gaya Ustaz Don dengan jubah dan serban yang bagaikan sudah menjadi trademark, juga menjadi perhatian masyarakat. Menurut Ustaz Don, bukan saja aspek tingkah laku, malah imej dan penampilan adalah antara perkara penting yang dititikberatkan.
“Ulama terkenal, Allahyarham Ustaz Yusof Rawa sangat menjaga penampilannya ketika berada di khalayak sehingga pernah menerima duta keterampilan. “Ini bermakna, kebebasan bergaya sememangnya ada asalkan tidak keluar daripada landasan Islam. Saya pun bukanlah ke sana sini mengenakan jubah dan serban, ikut kesesuaian juga.“Jika bermain boling misalnya, takkan hendak memakai jubah juga. Selebihnya, saya selesa memakai sut dan pakaian formal,” katanya yang turut memiliki bakat dalam bidang grafik dan fotografi ini.
Menyingkap serba sedikit latar belakangnya sebelum mula dikenali, Ustaz Don rupa-rupanya pernah mencurahkan khidmat di sebuah tadika di Pulau Pinang. Bergelar satu-satunya guru tadika lelaki bukanlah penghalang untuknya sementelah naluri sebagai pendidik yang cukup kuat dalam dirinya. Selain mengajar, ada kalanya masa dipenuhi dengan jemputan memberi ceramah motivasi secara tidak formal.
Bagaimanapun, kenangan tiga tahun lalu ketika menyampaikan kuliah agama pertamanya di Selangor iaitu di Surau An Nur, Bangi, tidak mungkin dilupakan lantaran itulah detik permulaannya sebagai pendakwah bebas. Apatah lagi, dia bertindak sebagai ‘bidan terjun’ menggantikan dua ulama yang bukan calang-calang, Ustaz Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus yang tidak dapat memberi kuliah ketika itu. “Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya ketika itu apabila disuruh menggantikan mereka, memang ketar kepala lutut dibuatnya.
“Syukur semuanya berjalan lancar dan dari situ saya mula bergerak aktif sebagai pendakwah. Alhamdulillah, saya bersyukur dipilih ALLAH sebagai salah seorang individu untuk memahami agama,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam pengajian al-Quran dan Sunnah. Biarpun usianya masih muda jika dibandingkan dengan pendakwah lain yang jauh lebih berpengalaman,Ustaz Don mempunyai pandangannya sendiri mengenai tugas berdakwah oleh orang muda. “Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat, golongan yang sudah berusia sukar menerima dakwah orang muda kerana berasakan ilmu mereka tidak banyak. “Bagi saya, sekiranya ada pertentangan antara dua perkara, yang benar juga akan menang. Dalam hal ini, bagaimanakah hendak memenangi hati orang lain?
“Caranya adalah dengan berkata benar. Yang benar itu kadangkala pahit, tetapi biarlah pahit asalkan ia benar,” katanya penuh makna.
AZD’s : Best kalau ramai orang macam ni ada kat Malaysia ni..
No comments:
Post a Comment