January 15, 2013

TRW VS JDT.. SIAPA HEBAT..?

Mohd Badhri Radzi


MINGGU ini, saingan Liga Super memasuki perlawanan ketiga di mana kesemua 12 pasukan turun dengan diiringi satu misi - memungut tiga mata penuh.

Pasukan manakah yang akan lebih menyerlah? Adakah kejutan akan terus berterusan dan pasukan bukan pilihan akan memenangi perlawanan malam ini?

Begitu pun, apa yang jelas, pertemuan malam ini bakal menjanjikan persaingan sengit antara semua pasukan dalam usaha memperkukuhkan kedudukan masing-masing.

Apa yang pasti, pertemuan melibatkan Kelantan dan Johor Darul Takzim akan menarik perhatian peminat. Mereka ingin melihat sama ada pasukan The Red Warriors akan bangkit daripada kekalahan mengejut minggu lepas atau terus mempamerkan prestasi sebaliknya.

Selain itu, pertembungan buat kali pertama, Kelantan yang menanti selaku juara treble musim lalu tidak sabar menerima kunjungan Harimau Selatan yang dibarisi pemain bintang termasuk bekas penyerang mereka, Norshahrul Ildan Tahala.

Pelbagai kontroversi yang melibatkan kedua-dua pasukan sebelum ini akhirnya menemukan mereka untuk bersaing dan siapakah yang akan lebih menyerlah. Semuanya akan terjawab malam ini.

Ibarat 'buku bertemu ruas' - perumpamaan paling tepat menggambarkan pertarungan Kelantan dan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada jam 8.45 malam ini.

Meskipun  Johor Darul Takzim dibarisi oleh ramai pemain kebangsaan dan pemain import seperti Daniel Guiza dan Simone Del Nero, ia bagaimanapun tidak melemahkan semangat Keantan.

Kelantan yang bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri pastinya tidak menghadapi sebarang tekanan, bagaimanapun pasukan itu harus berhati-hati agar kekalahan kepada pasukan 'Underdog' sebelum ini tidak akan berulang.

Selain Kelantan dan Johor Darul Takzim, pertemuan Pahang dan Negeri Sembilan juga meniti dibibir peminat. Mereka semuan ingin melihat adakah anak buah Dollah Salleh mampu mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus mempertahankan kedudukan selaku pendahulu liga atau berjaya dipintas oleh Lions XII.

Kemenangan 1-0 ke atas Felda United Jumaat lepas membuatkan Pahang terus mengekalkan kedudukan di tangga pertama liga dengan mengutip enam mata - perbezaan satu jaringan gol daripada pesaing terdekatnya Lions XII.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa Pahang setakat ini, rasanya tiada halangan bagi Pahang untuk menewaskan Negeri Sembilan bagi meraih tiga mata bagi menjarakkan mata daripada pasukan lain.

Namun harus diingat, Negeri Sembilan juga sebuah pasukan yang harus digeruni.

Selepas terikat seri 0-0 dengan Terengganu Jumaat lepas, Negeri Sembilan sudah pasti tidak mahu terus ketinggalan di belakang, dan skuad Hoben Jang Hoben pastinya turun dengan semangat juang yang tinggi meskipun beraksi di halaman lawan.

Jadi, Pahang harus berhati-hati dan jangan mudah memandang keupayaan lawan dan kedua-dua pasukan juga harus memikirkan taktikal yang terbaik agar misi untuk membawa pulang tiga mata akan kesampaian.

Sementara itu, juara Piala Sumbangsih, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menanti kunjungan T-Team di Stadium Tengku Abdul Rahman, Paroi.

ATM yang mempunyai misi besar setelah berjaya bersaing dalam Liga Super musim ini mahu membuktikan pasukan mereka mampu memberi saingan meskipun dianggap pasukan bukan pilihan.

Kemenangan besar 3-1 ke atas PKNS Jumaat lepas pasti menyuntik semangat anak buah B. Sathianathan untuk terus mengutip tiga mata bagi menduduki kelompok ketiga terbaik dalam liga.

Namun, ia bukan sesuatu perkara yang mudah  buat ATM. Keyakinan T-Team harus dipandang serius oleh ATM bagi menggelakkan kecundang di tangan pasukan 'underdog' seperti mana yang berlaku ke atas Kelantan sebelum ini.

Jadi, pasukan yang dilihat semakin hampir menuju sasaran perlulah berwaspada dan jangan mudah leka serta berpuas hati kerana yang dikejar itu sudah pasti tertekan dari mereka yang mengejar.


Berikut jadual perlawanan ketiga Liga Super hari ini:

Pahang lwn Negeri Sembilan 8.45 malam

ATM lwn T-Team 8.45 malam

Kelantan lwn Johor Darul Takzim  8.45 malam

Perak lwn Felda United 8.45 malam

PKNS lwn Lions XII 4.45 petang

Terengganu lwn Selangor 8.45 malam

No comments:

Post a Comment

Blogroll

Blogger Widgets
Blogspot Tutorial