Ibn Sina
Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya
dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh
para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu
Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan
980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa
dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti
geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan
termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada
sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan
penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain.
Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga
beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya
Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan diRom pada tahun 1593 sebelum
dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine.
Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15
buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan
rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad
ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi
judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku
itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama
dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak
terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu
lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair,
prosa, dan agama.
Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah
menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar
menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan
tertinggi dalam bidang yang diceburinya.
Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina
juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar
guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya
termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau
juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis
sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran
falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah
menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina
turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan
humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu
hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan
dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus
berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka
seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan
yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan
satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit
yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani
ini dan mengislamkannya.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri
daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini
memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung
kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud
ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain
keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan
yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam
pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang
falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal
Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani
seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi
Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam
ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman
Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan
Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan.
Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan
sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak
boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang
wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak
ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada
Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau
bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau
menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis
oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang
adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan
telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali
telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada
Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu
Sina dan al-Farabi.
Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah
penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan
terhadap penafian Ibnu Sina dan
al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan
kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu
Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan
beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu
falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul
dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya
sendiri iaitu al-Farabi.
No comments:
Post a Comment